Persoalan Mandi Hadas Menggunakan Shower.
Persoalan mandi hadas dan jawapannya. Moga mendapat
manfaat untuk semua.
Soalan ini ditanyakan oleh seseorang kepada seorang
ustaz.
Soalan : Assalamualaikum Ustaz, adakah sah mandi
hadas dengan menggunakan shower atau air pancuran ? Dengan meratakan air ke
seluruhan badan sahaja tetapi tidak ada bilangan jirusan. Jika tidak sah, apa
yang sepatutnya dibuat. Terima kasih.
Dari : Hamba Allah yang keliru
Jawapan : Para Ulamak telah membahagikan perbuatan-perbuatan yang
perlu dilakukan di dalam ibadah (solat, puasa, haji, mandi hadas dsbnya) kepada
2 kategori :
- Perbuatan-perbuatan rukun
- Perbuatan-perbuatan sunat
Perbuatan-perbuatan rukun
jika ditinggalkan akan menyebabkan ibadah menjadi rosak dan terbatal. Adapun perbuatan-perbuatan
sunat jika ditinggalkan tidaklah menyebabkan rosak ibadat ataupun terbatal
tetapi ia akan mengurangkan pahala ibadah.
Bagi mandi hadas/mandi
wajib, perbuatan rukun adalah :
- Berniat mandi hadas
- Meratakan air ke seluruh badan
Jika seseorang mandi
dengan menyempurnakan 2 perkara di atas, maka sahlah mandi hadasnya.
Pertama, ia berniat di
dalam hati ketika mandi itu bahawa mandi yang dilakukannya itu adalah bertujuan
untuk menghilangkan hadas (bukan mandi biasa).
Kedua, meratakan air ke
seluruh badannya termasuk celah-celah rambut dan kawasan-kawasan yang berlipat
di badan. Cara bagaimana mandi (sama ada
dengan menyelam, menjirus air atau berdiri di bawah shower atau air terjun)
tidaklah menjadi syarat asalkan air merata ke seluruh tubuh badan ( yakni dari
hujung rambut hingga ke hujung kaki). Begitu juga tidak disyaratkan bilangan
jirusan tertentu. Jika dengan sekali jirusan sudah dapat meratakan air ke
seluruh badan memadailah dengan satu jirusan. Jika tidak perlulah diulangi
hingga diyakini bahawa air telah rata ke seluruh tubuh. Namun makruh jika kita mandi
dengan berlebihan atau gunakan banyak air hingga menimbulkan Israf (pembaziran).
Di dalam hadis diceritakan
bahawa : “Nabi Muhammad SAW mandi dengan segantang air sahaja” (Hadis Riwayat :
Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Anas. Lihat hadis ini dalam Bulughul-maram, bab
Al-Wudhu’)
Itu adalah had wajib yang
mesti dilakukan ketika mandi hadas. Adapun jika ingin mendapat pahala yang
sempurna, hendaklah melakukan juga perbuatan-perbuatan yang disunatkan semasa
mandi.
Menurut Mazhab Syafiee, di
antara perbuatan-perbuatan yang disunatkan ketika mandi hadas adalah :
- Membaca Bismillah
- Dimulai dengan membasuh kedua-dua tangan
- Menggunakan tangan kiri ketika membasuh
kemaluan dan ketika menghilangkan najis
di badan jika ada
- mengambil wuduk sebelum memulakan mandi
- Mandi dari atas ke bawah, iaitu dari kepala
turun ke kaki
- Menggosok celah-celah rambut dengan air
kemudian jirus air ke kepala dengan 3 kali cebokan air.
- Mandi dari sebelah kanan, kemudian baru ke
sebelah kiri iaitu menjirus air ke sebelah kanan kemudian di sebelah kiri.
- Mengulangi mandi sebanyak 3 kali bagi setiap
anggota.
- Mengosok-gosok badan dengan tangan ketika
mandi.
- Menyelati celah-celah jari tangan dan kaki (
jika dikhuatiri air tidak sampai tanpa diselati, wajiblah melakukannya)
- membaca doa apabila selesai mandi sebagaimana
doa selepas wuduk.
Wallahualam. Moga
bermanfaat untuk semua.
No comments:
Post a Comment